Monday, January 18, 2010

Polis Bersatu juara ragbi antara kelab


Sunday, 17 January 2010 19:30


Diambil daripada: http://www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pasukan pilihan, Polis Bersatu berjaya membenam cabaran Keris Conlay-BIB 15-3 pada perlawanan akhir, semalam untuk muncul juara Kejohanan Ragbi Antara Kelab Kebangsaan 2009.

Bertempat di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, persembahan skuad Polis Bersatu yang diuruskan oleh Deputi Supritendan, Ridzuan Abdul Aziz ternyata sukar ditandingi oleh Keris Conlay.

Namun, Keris Conlay terlebih dahulu mengejutkan Polis 3-0 seawal minit keenam menerusi penalti yang disempurnakan oleh Mohd. Fauzi Fuad.

Tersentak dengan mata lawan, Polis bingkas memperhebatkan asakan dan hasilnya pada minit ke-20, Ahmab Sofian Rosli tenang mengambil sepakan penalti untuk kedudukan 3-3.

Polis tidak menoleh belakang lagi selepas itu apabila memperolehi try pertamanya melalui Shahril Azri Raup pada minit ke-37 bagi memberikan pendahuluan 8-3 untuk separuh masa pertama.

Sebaik separuh masa kedua bermula, Keris Conlay terus longlai dengan banyak melakukan kesilapan sehingga memberikan ruang kepada Polis untuk mengasak.

Akhirnya, Muhd. Juraimi Jasmin mendapatkan try kedua kepada Polis pada minit ke-66 sebelum dua mata lagi diperoleh melalui conversion yang diambil Ahmab Sofian bagi kedudukan 15-3 di minit ke-67.

Walaupun Keris Conlay berusaha keras merapatkan jurang, namun gagal menembusi benteng Polis yang berjaya mematahkan usaha mereka termasuk percubaan try di akhir permainan.

Hadiah kejohanan termasuk Piala Pusingan Dauk Seri Syed Razlan Jamalullail telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani.

Polis dan Keris Conlay yang merupakan dua pasukan terbaik kejohanan itu layak beraksi ke Liga Super Ragbi Kebangsaan yang akan bermula pada pertengahan Februari ini.

Pengurus Polis, Ridzuan berkata skuad itu akan berangkat ke Thailand pada bulan Jun depan bagi menghadapi perlawanan menentang pasukan Polis Thailand.

"Kami mahu memberikan kejutan dalam perlawanan tradisi tahunan ini kerana Polis Thai sering muncul sebagai pemenang," katanya.

No comments:

Post a Comment